Thursday, April 29, 2010

Ciri Kanak-Kanak Pintar Cerdas

PENGENALAN

Siapakah kanak-kanak pintar cerdas? Pelbagai takrifan telah diberikan dalam menjelaskan siapa yang dikatakan kanak-kanak pintar cerdas. Secara umumnya, seorang kanak-kanak yang mempunyai kebolehan kognitif yang jauh lebih tinggi daripada kalangan rakan sebaya dikatakan sebagai seorang kanak-kanak pintar cerdas. Bagaimanapun, mempunyai keupayaan intelek yang luar biasa sama ada memiliki keupayaan intelek yang tinggi dalam satu atau lebih subjek akademik bukanlah satu-satunya ciri bagi seorang kanak-kanak pintar cerdas ini. Ada dalam kalangan kanak-kanak yang dikatakan pintar cerdas adalah kanak-kanak yang mempunyai kebolehan luar biasa dalam bidang sukan, muzik, lukisan atau seni persembahan berbanding dengan rakan sebaya mereka yang lain. Ini bermakna kanak-kanak pintar cerdas bukan sahaja kanak-kanak pintar dari aspek akademik tetapi juga kanak-kanak yang mempunyai kebolehan yang mengkagumkan dalam aspek kesenian dan kesukanan. Oleh itu, kanak-kanak yang mempunyai potensi dan tahap motivasi serta pencapaian yang tinggi dalam aspek intelek, kreativiti, artistik, kebolehan kepimpinan serta mempunyai bakat dalam bidang seni dan muzik juga dilihat sebagai kanak-kanak pintar cerdas.

CIRI KANAK-KANAK PINTAR CERDAS
Walau bagaimanapun, ciri yang dipamerkan oleh seseorang kanak-kanak telah dijadikan sebagai asas oleh sesetengah pakar profesional dalam mengenal pasti kanak-kanak pintar. Proses mengenal pasti kanak-kanak pintar cerdas yang paling mudah ialah dengan hanya melakukan pemerhatian sahaja terhadap tingkah laku kanak-kanak itu. Proses ini bukan sahaja boleh dilakukan oleh seorang ahli akademik yang profesional malah ibu bapa pun mampu mengenal pasti ciri yang terdapat dalam diri anak mereka. Biasanya hasil permerhatian yang diperolehi adalah tepat atau lebih ketara dari kaedah pengenalpastian yang lain kerana ia dilakukan dalam suasana yang selesa bagi kanak-kanak tersebut tanpa banyak gangguan. Banyak ciri yang luar biasa yang ditunjukkan oleh kanak-kanak ini pada usia yang masih muda lagi. Walau bagaimanapun tidak semua ciri ini perlu dimiliki oleh seseorang kanak-kanak untuk dikatakan pintar cerdas. Seseorang kanak-kanak itu tetap dikatakan pintar cerdas walau pun hanya mempamerkan sebahagian dari ciri yang disenaraikan.
Dalam halaman ini ciri kanak-kanak pintar cerdas yang disenaraikan dibahagikan kepada tujuh domain adalah hasil dari ciri yand disarankan oleh pelbagai pandangan ahli psikologi seperti Gardner, Renzulli, Clark (Gargiulo 2006) dan Sousa (2003). Haruslah diingat bahawa tidak semua ciri tersebut perlu ada dalam diri seseorang kanak-kanak yang dikatakan pintar cerdas. Ciri ini dibahagikan kepada domain-domain:

A. kebolehan intelek yang umum
B. kebolehan intelek yang khusus
C. pemikiran kreatif
D. kepimpinan
E. kebolehan psikomotor
F. kesenian visual/persembahan
G. sosial emosi.

rujukan : Permata Pintar UKM.

Wednesday, April 14, 2010

Program Pendidikan Khas di Malaysia

Program pendidikan khas di Malaysia dilaksanakan melalui:-

* Sekolah Khas
* Progam pendidikan Khas Integrasi (pengasingan/inklusif)
* Pemulihan Khas
* Program Disleksia
* Pendidikan Vokasional sekolah khas/integrasi(teknik/Vokasional)


Kategori Pendidikan Khas

Kanak-kanak yang berada dalam program Pendidikan khas adalah mereka yang menghadapi masalah untuk belajar di dalam aliran biasa. Terdapat tiga aliran :

* Masalah Pembelajaran
* Masalah Pendengaran
* Masalah Penglihatan

Falsafah Pendidikan Khas

Falsafah Pendidikan Khas

Pendidikan Khas di Malaysia adalah satu usaha yang berterusan untuk melahirkan insan yang berkemahiran, berhaluan, berupaya, beriman, berdikari, mampu merancang dan menguruskan kehidupan serta menyedari potensi diri sendiri sebagai seorang individu dan ahli masyarakat yang seimbang dan produktif selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Kejayaan orang-orang istimewa

Setiap orang mempunyai impian dan cita-cita tersendiri. Jika diberi peluang pastinya mereka dapat meneroka dan memperkembangkan minat masing-masing. Dengan minat yang ada, sudah tentunya ia akan membuahkan hasil dan menampakkan kejayaan. Ini sudah pastinya meningkatkan motivasi dan kepercayaan diri dalam diri individu.

Mungkin anda sebagai ibu bapa mempunyai impian melihat anak –anak anda menjadi pilot, doktor, peguam dan menjawat jawatan yang tinggi. Persoalannya apakah jawatan tersebut sesuai dengan kemampuan anak anda yang mempunyai sifat-sifat yang terbatas? Namun begitu, anda seharusnya tidak berputus asa kerana meskipun mereka dilahirkan dengan keadaan yang tidak sempurna, mereka masih dapat mengecap nikmat kehidupan dengan gembiranya. Apa yang penting, kepuasan dalam bidang yang diceburi mengikut minat masing-masing.

Meskipun golongan istimewa mempunyai kebolehan yang terbatas, ibu bapa seharusnya memberi kepercayaan dan galakan kepada mereka dalam apa jua bidang yang mereka ceburi. Dengan pendidikan dan latihan yang sepatutnya, orang-orang istimewa mampu beroleh kejayaan. Sejarah telah membuktikan, golongan istimewa juga mampu melakukan tugas seperti orang lain malah kadangkala lebih baik lagi!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails